TAIPING – Kes keracunan makanan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berulang lagi dengan kejadian terbaharu melibatkan kira-kira 20 pelajar terpaksa dikejarkan ke hospital pagi ini bagi mendapatkan rawatan.
Insiden terbaharu itu berlaku hanya dalam tempoh kira-kira tiga minggu selepas 31 pelajar MRSM berkenaan mengalami keracunan makanan pada 12 Julai lalu.
Exco Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika dihubungi mengesahkan lebih 20 pelajar MRSM telah dimasukkan ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan.
Beliau dijadual melawat MRSM tersebut dan pelajar di hospital petang ini.
Sementara itu, seorang waris pelajar yang dikenali sebagai Lina berkata beliau menerima panggilan telefon daripada anaknya memaklumkan mengenai kes tersebut awal pagi ini.
Beliau berkata pelajar terbabit dikatakan mengalami cirit birit selepas menikmati sarapan pagi di dewan makan asrama maktab berkenaan.
“Saya bimbang kerana kes keracunan makanan yang berulang amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Lina berkata MRSM sepatutnya menamatkan kontrak pengusaha kantin di asrama itu bagi mengelak kes keracunan daripada terus berulang. – BERNAMA