JACKSONVILLE, Florida – Seorang pemain permainan video membunuh dua orang dan mencederakan sebilangan lagi kelmarin apabila dia melepaskan tembakan dengan sepucuk pistol semasa satu pertandingan yang disiarkan secara langsung di internet dari sebuah restoran di sini, kata polis.
Media tempatan melaporkan, penembak itu turut bertanding dalam kejohanan tersebut dan kalah. Dia dikatakan tidak berpuas hati lalu menyerang pemain lain sebelum membunuh diri.
Syerif Jacksonville, Mike Williams menamakan penembak sebagai David Katz, 24, dari Baltimore. Dia berada di bandar ini untuk menyertai kejohanan permainan video tersebut.
Menurut Williams, Katz membunuh diri selepas insiden tembakan itu dan mayatnya ditemui bersama dua mayat mangsa. Pejabat Syerif menyatakan bahawa 11 orang cedera ditembak, manakala sekurang-kurangnya dua yang lain cedera semasa melarikan diri.
Sementara itu, berpuluh-puluh ambulans dan kereta polis berada di Jacksonville Landing yang merupakan lokasi untuk menjamu selera, berhibur dan membeli-belah di pusat bandar ini, tengah hari kelmarin.
Insiden tembakan itu berlaku semasa pusingan kelayakan untuk permainan video Madden 19 di Bar Game GLHF dalam restoran Chicago Pizza di Jacksonville Landing, demikian menurut laman web tempatan tersebut.
Bar itu sedang menyiarkan pertandingan tersebut apabila tembakan bermula, demikian menurut rakaman video yang dikongsi di media sosial. Dalam rakaman itu, pemain-pemain dilihat memberikan reaksi kepada tembakan diikuti bunyi jeritan sebelum klip video terhenti.
Taylor Poindexter dan teman lelakinya, Marquis Williams yang melakukan perjalanan dari Chicago untuk menyertai kejohanan itu berkata, mereka melarikan diri sebaik sahaja bunyi tembakan kedengaran.
Menurutnya, dia melihat Katz membidik pistolnya ke arah mangsa.
“Kami ada melihat dia. Penyerang membidik pistol dengan kedua-dua tangannya dan melepaskan tembakan. Saya takut nyawa saya dan nyawa teman lelaki saya melayang,” katanya kepada pemberita. – Reuters/Kosmo Online