PEKAN – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhasrat untuk lebih kerap turun padang menjelajah ke setiap daerah dari semasa ke semasa bersama anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dalam usaha mendekati dan mendengar permasalahan rakyat lebih dekat.
Wan Rosdy berkata beliau melihat perkara itu sebagai satu pendekatan yang lebih tepat untuk mendengar keluh kesah dan mengetahui sendiri perit jerih rakyat berbanding hanya mendengar laporan daripada pihak lain.
“Sejak memegang jawatan sebagai menteri besar, saya bersama barisan Exco telah menjelajah ke Cameron Highlands dan Pekan bersama dengan agensi kerajaan tertentu ke kawasan-kawasan tumpuan untuk mendengar sendiri permasalahan rakyat.
“Contohnya semasa mengadakan lawatan di Pekan (semalam) saya sendiri telah ke pekan sehari untuk melihat masalah kenaikan kos harga barangan dan hasil tinjauan yang dilakukan didapati harga barangan masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kilang DRB-Hicom di sini petang semalam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Pengedaran Automotif, Pertahanan, Pembuatan dan Kejuruteraan DRB-Hicom Berhad, Datuk Abdul Harith Abdullah.
Bagaimanapun katanya program jelajah itu akan bergantung kepada kelapangan agenda di setiap daerah.
Wan Rosdy sebelum itu turut diberikan penerangan tentang operasi DRB Hicom di Pekan yang melibatkan 13 buah anak syarikatnya di kawasan seluas 127 hektar di Pekan.
Dalam ucapannya selepas itu beliau turut menyatakan rasa kagum dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh pihak DRB Hicom dalam menjalankan kegiatan industri di situ kerana disifatkan lebih efisien dan baik berbanding sesetengah negara maju lain.
Katanya kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama yang lebih erat kepada kumpulan syarikat berkenaan yang setakat ini sudah menyediakan hampir 4,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. – BERNAMA

