IPOH – Pengiktirafan secara rasmi kedudukan ketua pembangkang menerusi penyediaan pelbagai kemudahan antara perubahan dilaksanakan kerajaan negeri sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 13 Ogos ini.
Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham berkata antara kemudahan yang disediakan adalah sebuah pejabat, kereta rasmi, dua pegawai khas, seorang pemandu dan elaun tambahan setiap bulan.
Katanya, penyediaan kemudahan itu bagi menghormati peranan ketua pembangkang sepertimana termaktub dalam amalan demokrasi yang dilaksanakan negara seperti Malaysia.
“Dalam sistem demokrasi, pihak pembangkang tidak patut dianggap sebagai musuh tetapi dihormati kerana mereka memainkan peranan yang telah ditetapkan dalam sistem demokrasi,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ngeh berkata pihaknya akan melakukan beberapa perubahan pada persidangan kali ini termasuk tempoh bagi sesi perbahasan dan soal jawab setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dilanjutkan daripada tempoh sedia ada.
“Masa untuk sesi perbahasan ketua pembangkang telah ditambah daripada 40 minit kepada satu jam dan setiap ADUN pula daripada 20 minit kepada 30 minit. Sesi soal jawab juga telah ditambah daripada satu jam kepada satu jam 30 minit,” katanya.
Selain itu, Ngeh berkata pintu masuk utama sidang DUN pula akan dikawal oleh pegawai keselamatan DUN menggantikan pihak polis yang memegang tanggungjawab berkenaan sebelum ini.
Katanya, perubahan itu perlu dilakukan bagi mengelak timbul persepsi negatif bahawa persidangan DUN adalah di bawah seliaan dan kawalan agensi eksekutif.
Ngeh yang juga ADUN Sitiawan berkata pihak media akan diberikan kebebasan untuk membuat liputan bagi persidangan DUN kali ini.
“Cuma, pihak media dipohon untuk bekerjasama dengan susunan yang telah dibuat oleh urusetia bagi memberi peluang kepada semua media untuk membuat liputan,” katanya.
Tambah Ngeh, perasmian persidangan bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama DUN ke-14 itu akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. – BERNAMA

