GEORGE TOWN – Kehadiran rakyat begitu ramai pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat kebangsaan di sini malam tadi, membuktikan semua mahukan kebaikan kepada Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Beliau berkata pada majlis berkenaan, semua rakyat bersatu dan melaungkan perasaan mereka demi cintakan negara.
“Saya sangat gembira dengan sokongan yang saya lihat daripada rakyat dan saya rasa kita boleh lihat bagaimana di Malaysia, kita semua boleh ada persamaan khususnya dari segi semangat cintakan negara, kita ini semua mahu kebaikan kepada negara kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama di sini, malam ini.
Gobind berkata penganjuran majlis pada malam ini sangat berjaya kerana dihadiri ramai rakyat berbilang kaum.
“Saya rasa malam ini sangat berjaya dan saya minta rakyat Malaysia kibar Jalur Gemilang dan kita akan jumpa di Putrajaya pada 31 Ogos ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata sambutan pada malam ini bukan sahaja bersempena Bulan Kebangsaan malah ia satu semangat baharu kepada rakyat.
“Kita menyambut Bulan Kebangsaan ke-61 malam ini tetapi semua yang hadir boleh rasa sambutan pada malam ini satu perasaan baharu bukan sahaja untuk menyambut Bulan Kemerdekaan malah semangat baharu di bawah Pakatan Harapan.
“Jadi saya harap rakyat bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan meningkatkan semangat patriotik serta cintakan negara dalam kalangan masyarakat,” katanya. – BERNAMA