ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berhasrat mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian berhubung peningkatan jumlah kes membabitkan kenderaan berat di negeri ini.
Pengarahnya, Isma Suhaimi Sharif berkata ia berikutan kesalahan tertinggi dicatatkan JPJ Kedah melibatkan kes kenderaan berat (lori) membawa muatan melebihi had dan berbahaya.
“Di pihak JPJ, kami hanya boleh mengambil tindakan sekiranya kenderaan tersebut berada di jalan raya. Kenderaan berat ini banyak berikutan terdapat banyak kuari di sini, jadi sekiranya pematuhan di peringkat awal iaitu di tapak kuari dapat dipatuhi kes ini akan berkurangan.
“Permit kelulusan kuari ini diluluskan kerajaan negeri dan ada syarat perlu dipatuhi kenderaan berat ini. Apabila wujud jalinan kerjasama antara JPJ dan pihak mengelolakan permit ini, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang secara bersama menjadi lebih mudah,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, Isma Suhaimi berkata sejak Januari hingga Julai lalu, 6,459 saman dikeluarkan JPJ negeri terhadap kenderaan berat menerusi Ops Tutup dan jumlah itu meningkat berbanding 5,107 saman untuk tempoh sama tahun lalu.
“JPJ Kedah sentiasa komited terhadap isu kenderaan berat dan bagi tahun ini kita jalankan lima siri Ops Tutup dan kebanyakan saman dikeluarkan antaranya di Pendang dan Tunjang, Jitra.
“Ada juga pemandu lori muatan berat ini sanggup membahayakan pengguna jalan raya apabila memandu kenderaan walaupun lesen kenderaan motor (LKM) telah tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans,” katanya.
Beliau berkata semasa pemeriksaan ada pemandu tidak memberi kerjasama selain tidak memberhentikan kenderaan, sekali gus membahayakan keselamatan anggota JPJ dan pengguna jalan raya lain.
Katanya JPJ negeri juga melancarkan dua siri Ops Sisih pada Februari dan Jun lepas, bagi memastikan semua pemandu dan pemilik bas bebas daripada kesalahan lalu lintas dan tidak mempunyai saman tertunggak. – BERNAMA