KUCHING : Sekurang-kurangnya lima kawasan di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana pagi ini.
Keadaan itu berlaku berikutan jerebu dikesan di beberapa kawasan khususnya Kuching, Serian, Sibu, Mukah dan Bintulu.
Berdasarkan laporan terkini IPU di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pagi ini, lima kawasan mencatat IPU sederhana iaitu Kuching (56), Serian (51), Sibu (66), Mukah (75) dan Bintulu (70).
Cuaca panas yang berlarutan sejak lebih seminggu lalu diburukkan lagi dengan kebakaran belukar tanah gambut yang berlarutan di kawasan Daro, di tengah negeri ini.

Selain itu, jerebu rentas sempadan dari Kalimantan Barat turut menjejaskan kualiti udara negeri ini.
Sehingga pagi ini, ratusan titik panas dikesan di Kalimantan Barat terutama di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia antaranya di Singkawang dan Sambas. – BH Online

