GEMPAR… Satu isyarat radio misteri berjaya dikesan oleh sebuah teleskop di wilayah barat Kanada baru-baru ini dan ia merupakan frekuensi paling rendah yang pernah dikesan saintis setakat ini.
Perincian mengenai isyarat aneh berkenaan dimuat naik laman The Astronomer’s Telegram. Menurut akhbar USA Today, ia merupakan sebuah laman untuk pakar astronomi bertauliah berkongsi pemerhatian masing-masing.
Ini termasuk satu pemerhatian dimuat naik oleh Patrick Boyle dari Universiti McGill di Kanada mendapati bahawa sebuah teleskop radio mengesan fast radio burst (FRB) atau gelombang radio kecil menjangkaui galaksi Bima Sakti.
Ia dikesan menerusi teleskop khas diberi nama Eksperimen Pemetaan Kepadatan Hidrogen Kanada atau Canadian Hydrogen Intensity Mapping Experiment (CHIME) di Okanagan Falls, British Columbia yang diurus universiti itu.
Gelombang diberi nama FRB 180725A itu dikesan pada 25 Julai lalu pukul 10.59 pagi (1.59 pagi 26 Julai waktu Malaysia) menerusi frekuensi serendah 580 megahertz, iaitu paling rendah yang pernah dikesan setakat ini.

USA Today menukil jurnal Science Alert melaporkan bahawa pengesanan itu masih belum disahkan secara bebas, sambil merujuk mengenai kes penyelidik Australia, yang pernah mengesan isyarat radio pelik pada 1988 lalu.
Bagaimanapun saintis antarabangsa mendapati setelah 17 tahun kemudian bahawa ia sebenarnya adalah frekuensi dari alat pemanas gelombang mikro di dapur sebuah rumah yang berhampiran tempat pencerapan tersebut.
Untuk rekod, FRB dikesan buat pertama kalinya pada tahun 2001 oleh Duncan Lorimer, tetapi asal-usulnya masih belum diketahui lagi. Awal tahun ini, ahli astronomi mendakwa mereka hampir menentukan sumber-sumber FRB.
Namun, mereka juga berkata terdapat kemungkinan bahawa isyarat itu berasal dari sebuah tamadun mahkluk asing yang jauh lebih maju tiga bilion tahun cahaya di luar daripada lingkungan Bima Sakti. – Agensi/Mynewshub.TV