KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata institusi pendidikan di negara ini memerlukan wajah baharu dalam usaha memacu perubahan yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau berkata mutakhir ini terdapat banyak perubahan dari segi kepimpinan yang dilakukan oleh kerajaan, bukan sahaja di institusi pengajian tinggi awam tetapi juga syarikat berkaitan kerajaan dan badan-badan lain.
Jelasnya, mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan akan mengganggu proses reformasi kerajaan.
“Ini bukan tentang pemecatan tetapi tentang melantik pemimpin baharu yang mempunyai idea baharu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita mengenai penamatan perkhidmatan lima pengerusi universiti awam hari ini.
Maszlee menjelaskan pengerusi yang digugurkan itu merupakan lantikan politik. – BERNAMA
