KUALA LUMPUR – Penyerang Kelab Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), Michael Ijezie mahu melakar namanya dalam lipatan sejarah dengan muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Piala Cabaran 2018 yang julung kali dianjurkan pada tahun ini.
Pemain berusia 30 tahun dari Nigeria itu sememangnya bermula dengan cemerlang, selepas menjaringkan lima gol untuk membantu pasukan universiti itu membenam Sarawak 5-1 dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini hari ini.
“Saya amat gembira menjaringkan lima gol hari ini…ini kali pertama saya menjaringkan lima gol, saya biasa menjaringkan empat dan tiga gol. Ia tidak mudah kerana di padang, anda harus tahu bagaimana untuk mengejar, menewaskan pemain pertahanan dan menjaringkan gol.
Sebenarnya, saya boleh menjadi penjaring terbanyak…perlu dua atau tiga gol lagi , saya boleh memenanginya. Ia tidak mudah tetapi saya amat yakin,” katanya selepas perlawanan itu.
Ijezie mahu menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu UKM FC mencapai sasarannya untuk mara ke final.
Pada perlawanan hari ini, Ijezie menjaringkan gol pada minit keempat, ke-47, ke-55, ke-59 dan ke-64, sementara gol sagu hati Sarawak diperoleh pemain import dari Croatia, Mateo Roskam di minit ke-13.
Sementara itu Ketua Jurulatih Sarawak Ian Andrew Gillan yang kecewa dengan pecapaian pasukannya hari ini, berkata punca utama kekalahan besar itu akibat anak buahnya kehilangan tumpuan pada permainan dalam babak kedua.
“Kekalahan ini adalah satu kehilangan besar kepada kami…ada pemain yang mengambil keputusan yang buruk untuk menjaring gol. Jika anda seorang pemain profesional, ia tidak sepatutnya berlaku.
Anda dibayar untuk menjalankan tugas anda dan beraksi dengan baik. Segelintir daripada mereka tidak beraksi dengan baik pada babak kedua, kata jurulatih dari Australia itu.
Gillan berkata penjaga gol Mohamad Firdaus Muhamad, yang tercedera selepas berlanggar dengan Ijezie, semasa pemain itu menjaringkan gol kedua , mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC II, Selasa depan. – BERNAMA