SINGAPURA – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Darell Leiking menyifatkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura sebagai “baik”.
Darell berkata, isu Perjanjian Air 1962 dan Keretapi Laju (HSR) tidak akan menjejaskan hubungan yang sudah lama terjalin.
“Kepercayaan dan keakraban antara kami sentiasa wujud. Singapura sangat menyedari yang Malaysia sedang melalui tempoh yang sukar. Kami mempunyai salah urus fiskal,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-50 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.
Beliau berkata, seperti China, Singapura tahu bahawa “kita akan membuat semula dan merombak pengurusan fiskal kita.
“Lagipun, bagaimana kita dapat menjalankan beberapa projek yang akan membebankan negara kita?” katanya.
Pada Selasa, Darell telah bertemu rakan sejawatannya dari Singapura, Chan Chun Sing.
Darell berkata, Chan menyatakan harapannya agar kerajaan Malaysia yang baru terus bekerjasama rapat dengan Singapura.
“Kita akan dapat menyelesaikan sebarang masalah kecil, jika ada. Kita tidak pernah melihat masalah itu. Kita melihat penyelesaian,” tegasnya.
Darell kini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat AEM dan Mesyuarat Berkaitan di sini selama lima hari sehingga 1 Sept.
Sempena mesyuarat tersebut, menteri yang berulang kali menyuarakan kebimbangan bahawa beliau perlu meninggalkan mesyuarat Kabinet mingguannya, juga akan melakukan kunjungan kerja ke republik itu.
Semasa lawatan kerja itu, satu program yang ketat telah ditetapkan untuknya, termasuk satu siri perbincangan dan sesi perangkaian dengan ahli ekonomi, bakal pelabur, dewan perniagaan tempatan dan asing, diaspora dan syarikat Malaysia.
“Kami telah bertemu dengan majlis dan dewan perniagaan yang memberi jaminan bahawa mereka akan terus melabur di Malaysia … mereka akan menambah lebih banyak pelaburan di Malaysia.
“Di pihak kita, kita memberi jaminan kepada mereka bahawa kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dan membantu mereka mengurangkan birokrasi, jika ada,” katanya.
Darell percaya bahawa pelabur asing mula melihat bahawa kerajaan baru serius “menghidup dan membina semula” negara.
“Kita mahu menghapuskan ketidakpercayaan dan kecurigaan yang ada pada mereka selama ini,” katanya, sambil menambah bahawa usaha Malaysia baru yang diterajui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mula membuahkan hasil dengan peningkatan keyakinan daripada golongan tersebut.
Menyentuh mengenai Mesyuarat AEM dan Mesyuarat Berkaitan yang pertama untuknya, Darell berkata, bahawa ada beberapa dasar yang akan dilihat semula jika bertentangan dengan aspirasi pentadbiran semasa.
“Dasar itu mestilah berorientasikan rakyat dan kedaulatan Malaysia mesti dilindungi,” katanya sambil menambah “kita tidak merundingkan kedaulatan Malaysia.”
“Walaupun sesetengah orang mungkin mengatakan ia adalah dasar yang berpatah balik. Bagi kita, ia bukan berpatah balik jika ia adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Darell menyatakan bahawa ia akan merangkumi apa yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelumnya dalam rundingan berterusan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menteri berkenaan mengambil alih jawatan pada 2 Julai di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lalu dan dengan itu menamatkan pemerintahan 60 tahun kerajaan Barisan Nasional. – BERNAMA

