LARIS… Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold, Hantu Kak Limah berjaya catat hasil kutipan sebanyak RM20.5 juta dalam tempoh 11 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Pencapaian luar biasa tersebut sekali gus menyaksikan naskhah arahan Mamat Khalid itu meleburkan rekod RM19.04 juta dipegang oleh filem Abang Long Fadil 2 selaku karya paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia.
Sebelum ini francais terkini tersebut dilaporkan media tempatan berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama yang mampu meraih kutipan tertinggi pada hari pertama tayangan.
Filem genre seram komedia lakonan aktres veteran, Delimawati sebagai watak utama Kak Limah itu berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM1.8 juta ketika hari tayangan pembukaan secara serentak pada 9 Ogos lalu.
Justeru, Penerbit Eksekutif, Datuk Khairul Anwar Salleh mewakili kesemua tenaga produksi mengucapkan terima kasih kepada para penonton yang meluangkan masa untuk memenuhi kira-kira 146 panggung wayang.
Hantu Kak Limah yang dibintangi pelakon handalan termasuk Datuk Awie, TJ Isa, Sharwani, Allahyarham Rab Khalid, Zul Ariffin, Mus May dan Ropie Cecupak itu masih rancak ditayangkan. – Agensi/Mynewshub.TV