KUALA LUMPUR – Pelakon Fouziah Gous menjadi antara selebriti yang dipilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.
Bakal berangkat ke tanah suci hari ini, Fouziah dan suaminya, Zhafran Yusof, 35, turut meminta agar pengikutnya di laman sosial mendoakan keselamatan mereka sepanjang menunaikan rukun islam kelima ini.
“Syukur Alhamdulillah, saya Fouziah Gous dan Zhafran Yusof dengan penuh takzim ingin memaklumkan bahawa kami berdua akan menunaikan fardu haji 1439H dan akan berlepas ke tanah suci hari ini.
“Di kesempatan ini, kami menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kekhilafan secara sengaja atau tidak,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Selain Fouziah, rakan artisnya yang lain iaitu Betty Benafe, Rahmad Mega dan Zahida Rafik juga antara jemaah Malaysia yang menunaikan haji tahun ini. – UTUSAN ONLINE

