KUANTAN – Dua beradik ditemui lemas selepas mandi-manda bersama dua lagi rakan mereka di muara Sungai Balok di sini, petang semalam.
Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah, 11, dan adiknya, Muhammad Hafizul Iman, 10.
Beliau berkata 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 7.03 malam.
“Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang 5 petang tadi dan mangsa pertama (Muhammad Amirul) ditemui pada 6 petang oleh orang awam, kira-kira 500 meter dari kawasan kejadian.
“Sementara mangsa kedua (Muhammad Hafizul) ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi mangsa pertama ditemui pada 9 malam ini oleh anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam semalam.
Difahamkan dua lagi rakan mereka, Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi, 11, dan Mohamad Lokman Hakim Suhamizan, 11, berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Beliau berkata mayat dua beradik itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Balok, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
Kedua-dua mayat mangsa itu seterusnya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA