KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Kelanatn menafikan dakwaan kononnya pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrjaya dalam tempoh 24 jam.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, sehingga kini, Dr. Nur Ilyani tidak dikenakan sebarang tindakan mahu pun dipindahkan ke mana-mana lokasi lain.
Malah beliau menegaskan ibu kepada dua anak itu juga bertugas seperti biasa di hospital tersebut.
“Berita yang tular di laman sosial tidak benar sama sekali. Dr. Nur Ilyani tidak dipindahkan atau dikenakan sebarang tindakan.
“Sekarang beliau sedang bercuti empat hari atas urusan peribadi. Beliau akan kembali bertugas seperti biasa Ahad ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pagi ini, kecoh apabila menular berita di laman sosial kononnya Dr. Nur Ilyani dipindahkan ke JPA Putrajaya dalam tempoh 24 jam kerana kenyataan terbukanya berbubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Kenyataan tersebut dibuat dalam surat terbuka yang mengkritik anak Perdana Menteri, Datin Marina Mahathir kerana menuntut hak sama rata untuk golongan LGBT. – UTUSAN ONLINE
