PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa yang tamat kontrak perkhidmatannya esok.
Menurut sumber, majlis penyerahan tugas itu akan berlangsung petang ini.
Ismail yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan dan sudah berkhidmat lebih 32 tahun dalam perkhidmatan awam.
Beliau menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 13 Januari 1986 dan antara jawatan lain yang pernah disandang Ismail termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan, Ibu Pejabat Bank Dunia, Washington D.C, Amerika Syarikat.
Sebelum ini, beberapa nama turut dikaitkan untuk mengisi jawatan tertinggi perkhidmatan awam itu termasuk bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kini dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC). – BH Online

