BALAKONG – Selepas 11 hari berkempen, calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong mengakui masih sukar memenangi hati pengundi di kawasan kubu kuat DAP itu.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan sepanjang tempoh berkempen bermula 18 Ogos lalu untuk menemui pengundi dari awal pagi sehingga ke pagi keesokan harinya.
“Ketika berkempen saya lihat separuh sahaja pengundi yang dihampiri akan bersalaman, manakala separuh lagi akan menolak.
“Sebab itu saya rasa memang sukar untuk menembusi kubu kuat DAP ini, namun itu tidak sesekali akan melunturkan semangat saya.
“Satu perubahan diri yang ketara adalah muka saya menjadi bertambah cengkung kerana terlalu penat. Saya cuma dapat tidur tiga atau empat jam sahaja sehari,” katanya ketika ditemui dalam siri kempennya di Batu 11, Cheras di sini hari ini.
Sebelum ini, Chee Teong pada hari penamaan calon 18 Ogos lalu turut mengakui peluang untuk beliau menang PRK Balakong agak tipis, namun ia tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berjuang.
Beliau mengakui akan berhadapan dengan tekanan sepanjang tempoh berkempen selama 21 hari termasuk tidak terfikir untuk mencapai majoriti sebanyak 35,000 undi, namun berusaha cuba merapatkan jurang majoriti dengan calon Pakatan Harapan (PH).
Kubu kuat DAP itu sebelum ini pernah menjadi kerusi selamat buat MCA sehingga 2008 apabila parti komponen Barisan Nasional (BN) tewas di situ.
PRK Balakong 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara calon PH daripada DAP, Wong Siew Ki dan Chee Teong.
Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu. – BH Online

