KUALA LUMPUR – Badan Peguam menggesa kerajaan menggantung pelaksanaan hukuman berbentuk fizikal dan penderaan serta memansuhkan peruntukan hukuman itu di bawah undang-undang.
Presidennya, George Varughese, berkata beliau juga mahu kerajaan bersetuju dengan Konvenseyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) seperti yang dijanjikan tanpa sebarang penangguhan.
Beliau berkata, persetujuan terhadap konvesyen itu adalah satu langkah positif dalam memansuhkan hukuman berbentuk sebatan bagi semua kesalahan.
Terdahulu, mengulas mengenai denda RM3,300 dan enam sebatan yang dikenakan Mahkamah Syariah Terengganu, terhadap dua wanita atas tuduhan menjalinkan hubungan sejenis, pihaknya amat terganggu dengan hukuman terbabit.
“Hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap dua wanita berkenaan adalah isu yang sangat serius.
“Hukuman berbentuk fizikal adalah keras dan gasar serta akan meninggalkan kesan psikologi yang lama selain memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Varughese berkata menurut undang-undang Hak Asasi Manusia, hukuman berbentuk fizikal, dianggap sebagai antara kaedah penyiksaan dan bukan hukuman yang memberi pengajaran.
“Sehubungan itu, hukuman itu harus dimansuhkan.
“Sebagai langkah permulaan, kerajaan Terengganu perlu menangguhkan pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita terbabit,” katanya. – BH Online

