KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat unit amanah Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan enam sen seunit untuk dana harga tetap Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2018.
Jumlah pengagihan sebanyak RM1.8 bilion ini dapat dimanfaatkan oleh lebih 870,000 pemegang unit yang telah melanggan 19.6 bilion unit ASW 2020.
Setakat 31 Julai 2018, ASW 2020 merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM1.179 bilion bagi 11 bulan pertama tahun kewangannya.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar sepanjang tahun kewangan tabung, PNB menerusi ASNB telah berupaya untuk memberikan pulangan yang baik dan berdaya saing kepada pemegang unit tabung ASW 2020.
Beliau berkata, PNB berpegang teguh kepada komitmen dan mandat untuk mempertingkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan rakyat Malaysia menerusi pelaburan yang menjana pulangan mampan.
Katanya, secara keseluruhan faktor seperti situasi geopolitik, ekonomi dan pasaran kewangan global telah banyak mempengaruhi pergerakan pasaran saham tempatan.
“Sepanjang tempoh 11 bulan pertama tahun kewangan ASW 2020, FBM KLCI hanya mencatat pertumbuhan sebanyak 0.6 peratus iaitu dari 1,773.2 mata pada 31 Ogos 2017 kepada 1,784.3 mata pada 31 Julai 2018.
“Setakat 31 Julai 2018, ASW 2020 memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.398 bilion, dengan keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM718.76 juta atau 51.4 peratus, manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat tersenarai dan tidak tersenarai pula menyumbang sebanyak RM468.50 juta atau 33.5 peratus kepada jumlah pendapatan kasar berkenaan.
“Selebihnya RM210.80 juta atau 15.1 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam sukuk/deposit tetap Islamik serta pendapatan berfaedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASW 2020 adalah berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan tabung itu.
Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2018.
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB myasnb.com.my atau di semua pejabat dan ejen ASNB seluruh negara mulai 2 September 2018.
Semua urus niaga untuk ASW 2020 ditangguhkan mulai 30 Ogos hingga 1 September ini untuk pengiraan pengagihan pendapatan.
Dilancarkan pada tahun 1996, ASW 2020 ialah dana harga tetap yang menawarkan peluang pelaburan dengan memberi kadar pulangan yang berpatutan kepada pemegang-pemegang unit menerusi pelaburan dalam portfolio terpilih yang terdiri daripada pelaburan yang dibenarkan. – BH Online