KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia menggalakkan pengusaha restoran dan kedai makan untuk mengambil tukang masak berkelulusan dari institusi latihan tempatan seliaan kerajaan.
Timbalan menterinya Datuk Mahfuz Omar berkata ia bagi memastikan golongan muda yang menerima latihan intensif serta mempunyai kemahiran khusus dalam bidang berkenaan mampu memperoleh pendapatan berterusan.
“Kerajaan tetap meneruskan pelbagai agenda latihan industri tempatan dalam bidang kulinari dan kursus berkaitan yang telah dimulakan kerajaan sebelum ini.
“Bidang masakan tidak lagi dipandang rendah, malah mempunyai kelasnya yang tersendiri kerana institusi latihan tempatan terbabit juga telah banyak melahirkan mereka yang bertauliah dalam bidang masakan,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Mahfuz menjawab pertanyaan Datuk Seri M. Saravanan (BN – Tapah) berkenaan rancangan kerajaan dalam memastikan belia yang mengikuti latihan kemahiran yang disediakan kerajaan khususnya dalam bidang kulinari mempunyai pendapatan tetap dan tidak terus keciciran walaupun punya kepakaran. – BERNAMA

