KUANTAN – Gara-gara terlalu percaya akan rakan lelakinya, seorang wanita berusia 30 tahun kerugian RM127,000 selepas diperdaya lelaki itu sejak tiga bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata lelaki berusia 25 tahun berkenaan sebelum itu menghubungi mangsa pada 25 April meminta untuk meminjam wang sebanyak RM2,000 kerana masalah dalam perniagaan.
“Wanita itu kemudian masukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang didakwa rakan perniagaan suspek. Semenjak itu, suspek sering menghubungi mangsa meminta duit dan mangsa menunaikan permintaannya sehingga jumlah pinjaman menjadi RM107,000.
“Bagaimanapun ketika diminta menjelaskan hutang berkenaan suspek memberi pelbagai alasan sebelum kembali menghubungi mangsa untuk meminjam wang sebanyak RM40,000 pada 27 Julai lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mangsa yang enggan menuruti permintaan suspek kemudiannya dihubungi sekali lagi semalam melalui aplikasi Wechat dan kali ini suspek bertindak lebih agresif apabila mengugut untuk melakukan tindakan terhadap mangsa jika wanita berkenaan enggan memberikan wang berkenaan.
“Bimbang diri dan keluarga dicederakan suspek, pengadu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bagi membuat laporan,” katanya.
Dalam kes berasingan seorang wanita kerugian RM8,300 selepas terpedaya dengan helah sindiket ‘Macau Scam’ yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman bank serta terlibat dalam beberapa kes jenayah.
Mohd Wazir berkata dalam kejadian 11.30 pagi semalam, mangsa yang berusia 27 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita kononnya pegawai sebuah bank memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi selama tiga bulan sebanyak RM3,375 dengan jumlah pinjaman sebanyak RM50,000.
“Pengadu disambungkan ke IPK Kedah untuk membuat laporan polis dan suspek kedua kemudian memberitahu bahawa pengadu telah terlibat dengan beberapa kes jenayah dan meminta pengadu memasukkan duit sebanyak RM8,300 untuk teruskan siasatan berkaitan kes.
“Mangsa yang percaya kemudiannya pergi ke bank di Jalan Mahkota, Kuantan pada hari yang sama dan memindahkan wang sebanyak RM8,300 ke akaun Bank Islam atas penama Badriana Badron,” katanya.
Menurutnya, pengadu kemudian pergi membuat semakan di RHB Bank Kuantan tentang perkara itu dan mendapati ia adalah penipuan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA