KUALA LUMPUR – Golongan ulama diminta mencari pendekatan berhubung pengurusan tanah pusaka terbiar agar dapat diusahakan dan membawa manfaat kepada rakyat.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata tanah berkenaan boleh dimajukan misalnya sebagai pembangunan mini estet seperti kejayaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menguruskan tanah orang kampung terbiar secara profesional.
Bagaimanapun, katanya, banyak tanah berkenaan tidak dapat dimajukan kerana isu hukum hakam agama berkaitan tanah pusaka.
“Kalau dah meninggal (pemilik tanah) dua hingga tiga keturunan, mungkin satu ijtihad (pendekatan) baharu perlu difikirkan bersama yang mana kita boleh usahakan tanah itu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu perancangan kementerian menyelesaikan masalah tanah terbiar yang melibatkan tanah pusaka di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) berkenaan jumlah keluasan tanah pertanian terbiar, Salahuddin berkata 119,273 hektar tanah pertanian terbiar telah dikenal pasti di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah tersebut, negeri Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 34,293 hektar, diikuti Johor (17,854 hektar), Perak (14,506 hektar), Terengganu (12,309 hektar) dan Negeri Sembilan (10,309 hektar). – BERNAMA