MUNGKIN ada anggap ini kisah lawak tetapi berita seorang bekas calon PPBM Melaka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu tiba-tiba umum berundur memang agak pelik.
Portal berita AgendaDaily melaporkan bahawa beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) tetapi letak jawatan angkara ‘dihina’ komponen Pakatan Harapan (PH) sendiri.
Begitulah nasib malang bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-14 antara tahun 2004 hingga 2006 lalu, Datuk Seri Ruslin Hasan yang terpaksa buat kejutan tersebut gara-gara tidak tahan kena kutuk teruk dengan parti sekutu PH.
Beliau yang menyertai PPBM sebelum PRU ke-14 dan menjadi calon parti itu di DUN Ayer Limau meletak jawatan sebagai CEO PKNM milik kerajaan negeri itu hanya selepas 50 hari dilantik secara politik ke jawatan berkenaan.
Menerusi surat kepada Setiausaha Kerajaan Melaka, Datuk Wira Roslan Ibrahim, Ruslin juga lepas jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah beberapa anak syarikat PKNM, serta bayar balik gaji diterima berjumlah RM25,891.
Berdasarkan surat penjelasan peletakan jawatan yang kini tular di media sosial, Ruslin dikatakan terguris hati dengan seorang ahli Exco perlekeh dan perkecil beliau di hadapan pegawainya dalam beberapa mesyuarat sejak bulan lalu.
Exco terbabit juga kerap pertikai ketidakhadirannya pada mesyuarat itu walhal komitmen beliau ialah hadiri mesyuarat Sub-Exco Kewangan, Tanah, Hal Ehwal Ekonomi dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Roslan, selain bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Menteri, Adly Zahari.
“Oleh yang demikian, seorang Timbalan Ketua Eksekutif dan Pegawai Kanan PKNM dihantar mewakili jabatan ke mesyuarat Sub-Exco yang dipengerusikan oleh ahli Exco terbabit.
“Segala perbincangan dan keputusan daripada mesyuarat berkenaan akan dilaporkan dalam Mesyuarat Peringkat Tertinggi di PKNM yang dipengerusikan saya sendiri sebagai CEO.
“Perbincangan segera juga dilakukan sekiranya memerlukan tindakan serta merta sebaik mesyuarat Sub-Exco itu selesai,” kata Ruslin dipetik daripada laporan agensi berita NSTP.
Beliau berkata, isu kehadirannya dalam mesyuarat berkenaan adalah tidak relevan kerana jabatan diwakili oleh timbalannya serta seorang pegawai kanan.
“Saya tidak nampak di mana Prosedur Operasi Standard (SOP), peraturan pejabat atau undang-undang yang ada menyebut CEO mesti hadir dalam mesyuarat Sub-Exco itu, malah apabila disemak mesyuarat kerajaan dahulu, CEO bukanlah dimestikan tetapi boleh dihadiri wakil saja.
“Pada pandangan saya, perkara yang dibangkitkan ahli Exco terbabit adalah isu petty, beliau tidak faham tugas dan peranan Exco dalam konteks pengurusan PKNM,” kata Ruslin dalam nada cukup kesal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penerimaan jawatan CEO PKNM sebelum ini bukanlah atas dasar permohonan, sebaliknya ditawarkan untuk mengajar dan membimbing PKNM dalam tempoh enam bulan.
Ruslin dilantik sebagai CEO PKNM pada 1 Jun lalu menggantikan Datuk Azmi Hussien yang dinaikkan pangkat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Pada PRU ke-14, Ruslin dipilih sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dalam Parlimen Masjid Tanah. Beliau bagaimanapun tewas kepada calon BN, Datuk Amirudin Yusof dengan majoriti 1,479.
Ketika dihubungi, Ruslin mengesahkan surat peletakan jawatan berkenaan.
Sementara itu, Adly berkata, satu pertemuan rundingan akan diadakan bersama Ruslin bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu peletakan jawatannya, dan menyemak isi kandungan surat berkenaan, Isnin ini.
“Kita akan lihat surat itu, mungkin Isnin ini dan antara usaha (penyelesaian) saya sendiri akan berunding dengan beliau menggunakan kaedah rundingan bagi dapat penjelasan isu berbangkit,” katanya. – Agensi/Mynewshub.TV
* Video berikut sekadar hiasan…