REMBAU – Sungai Timun tidak asing lagi bagi kaki pancing kerana menjadi lubuk udang galah serta peminat makanan laut selain aktiviti pelancongan menyusuri sungai menggunakan bot untuk melihat habitat buaya dan burung.
Sungai Timun yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, turut menawarkan peluang kepada pelancong dalam dan luar negara melihat ribuan kelip-kelip bercahaya di celahan pokok di sepanjang sungai pada waktu malam.
Sinonim dengan peranan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menerangi kehidupan rakyat Malaysia, syarikat utiliti negara itu kini menggalas tanggungjawab untuk memelihara cahaya semula jadi dengan mengekalkan dan mengembangkan populasi kelip-kelip yang terdapat di situ.
Membawa hasrat menjadikan Kampung Sungai Timun, kampung nelayan, sebagai lokasi pelancongan kelip-kelip, TNB melalui anak syarikatnya TNB Research Sdn Bhd memberikan komitmen dalam perlaksanaan projek pemuliharaan kelip-kelip melalui kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Ir Aminuddin Mohd Amin berkata penglibatan TNB dalam usaha memulihara serangga kelip-kelip merupakan antara inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kategori pemuliharaan alam sekitar.
Bermula Mei tahun lepas, usaha pemuliharaan populasi kelip-kelip dan habitatnya dijalankan di sepanjang 3.5 kilometer Sungai Linggi membabitkan kajian terhadap serangga yang berinteraksi dengan kelip-kelip, tumbuhan yang hidup di sepanjang sungai, kualiti air dan tahap pencemaran serta perubahan guna tanah.
“TNB memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta bagi kajian di empat tempat iaitu Kampung Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Kuantan di Kuala Selangor, Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu; dan Kampung Dew, Taiping Perak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pengekalan kerlipan yang dihasilkan kelip-kelip di sepanjang sungai pada waktu malam mampu menjadi tarikan kepada pencinta alam semula jadi sekaligus membantu meningkatkan sosio ekonomi bukan sahaja kepada penduduk setempat malah menjana pendapatan sektor pelancongan Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun ketika ditemui berkata, inisiatif diambil oleh TNB disambut baik oleh kerajaan negeri kerana dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan negeri itu sekaligus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau berkata jika sebelum ini pelancong hanya mengunjungi Port Dickson dan tercari-cari aktiviti pada waktu malam, kini mereka boleh menikmati keindahan kelip-kelip bersama keluarga.
“Lebih banyak pelancong yang datang ke sini, lebih banyak produk pelancongan yang dapat diketengahkan. Dengan adanya tarikan kelip-kelip di sini, pelancong boleh melakukan pelbagai akiviti di sekitar Negeri Sembilan,” katanya.
Kerajaan negeri, kata beliau, akan memastikan kekayaan kepelbagaian khazanah alam di situ dimanfaatkan sepenuhnya dan dipelihara supaya dapat menjadi warisan kepada generasi akan datang.
Sementara itu, Ketua (Unit Kawal Setia dan Sains Kitaran) TNB Research, Shahril Mohd Hussin berkata, manfaat kajian itu juga mampu memberi impak positif dalam bidang pendidikan melalui perkongsian ilmu bersama penduduk tempatan supaya khazanah alam itu dapat dilindungi dan alam sekitar sentiasa terpelihara.
Katanya, antara program yang dirancang sepanjang kajian ialah aktiviti menanam 60 pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip di sepanjang kawasan kajian dengan harapan dapat menyemai semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan peserta yang terlibat.
“Seramai 60 pelajar sekolah daerah Rembau, Negeri Sembilan, menjalankan aktiviti penanaman melalui Program Pendidikan Alam dan diharapkan perlaksanaan ini dapat mengajar kepentingan memelihara kualiti alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, peserta turut menjalankan aktiviti dalam kumpulan berdasarkan modul yang disediakan iaitu serangga dan kelip-kelip, penggunaan peta, kualiti sungai dan tumbuh-tumbuhan.
Tumpuan TNB, jelas beliau, tidak hanya kepada pemuliharaan kelip-kelip tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan tambahan dengan penjualan benih pokok berembang.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Timun, Aziz Salim, 63, memuji usaha TNB dalam memulihara habitat kelip-kelip sebagai langkah memajukan sektor pelancongan di kawasan itu yang sememangnya sudah terkenal dalam kalangan peminat udang galah dan buaya.
“Sungai Timun menerima banyak pelancong dari luar negara seperti China, Korea, Taiwan dan Singapura yang ingin menikmati udang galah hasil tangkapan sendiri dan melihat buaya di kawasan habitatnya sendiri,” katanya.
Penambahan produk pelancongan di situ, kata beliau, akan membantu penduduk setempat yang kebanyakannya terdiri daripada nelayan dan pengusaha bot untuk memanfaatkan aktiviti plancongan yang berasaskan tarikan alam semula jadi. – BERNAMA

