INSIDEN pesawat Malaysia Airlines MH17 dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 2014 telah menunjukkan penyatuan seluruh rakyat negara ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kes tersebut merupakan ujian paling getir buat negara tetapi rakyat telah menunjukkan penyatuan dengan memberi sokongan kepada mereka yang hilang orang tersayang dalam tragedi itu.
“Hari ini (17 Julai 2018) adalah ulang tahun keempat tragedi MH17 yang meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal di mana 43 daripada mereka adalah rakyat Malaysia. Kejadian MH17 ini ujian paling getir buat negara.
“Tetapi sebagai rakyat Malaysia, kita telah menunjukkan penyatuan kita dan kita bersama-sama menghulurkan sokongan kita kepada mereka yang kehilangan orang yang disayangi.
“Sebagai salah seorang yang turut kehilangan saudara dalam kejadian itu, kami juga merasainya dalam keluarga kami,” kata bekas perdana menteri menerusi catatan dalam laman sosial Facebook miliknya semalam.
Mengenang kembali peristiwa pada hari ke-20 Ramadan 1435 Hijrah itu, Najib berkata, beliau pada waktu tersebut telah berusaha sebaiknya bagi memastikan jenazah mangsa dapat dihantar pulang segera ke negara ini.
“Pada masa itu, saya telah berusaha sebaiknya menggunakan segala saluran yang ada dalam memastikan jenazah mangsa dihantar pulang segera dan mengadakan rundingan bagi dapat kembali kotak hitam pesawat malang itu.
“Apapun, kita tak akan lupakan jasa baik dan usaha Kolonel Mohammad Sakri dan pasukannya yang bertemu dan berunding dengan puak pemisah di kawasan paling berbahaya pada ketika seluruh dunia memerlukannya.
“Mari kita panjatkan doa kita kepada semua yang terkorban, mereka tidak akan dilupakan, Al-Fatihah,” kata Najib merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa atas tragedi itu.
Pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine mengorbankan mangsa termasuk dari Belanda, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada dan New Zealand. – Mynewshhub.TV

