KULAI – Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM651,681 bagi penduduk yang menetap di lapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri ini sebagai usaha membayar separuh daripada tunggakan bayaran sewa.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu melibatkan 8,279 unit PPR di mana penduduk perlu membuat permohonan secara dalam talian bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos ini.
Sehingga Jun lepas, jumlah tunggakan terkumpul melibatkan kesemua lapan PPR berkenaan mencecah RM1.3 juta.
“Permohonan peruntukan perlu dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan di mana kita akan memproses permohonan mereka dan penerima yang berjaya akan dimaklumkan menerusi surat.
“Kerajaan Negeri akan membayar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan sewa bulanan iaitu sebanyak RM62 daripada RM124 sepanjang tempoh tunggakan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Creative and Inovative Technology in Education anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Dzulkefly berkata keutamaan akan diberi kepada golongan miskin tegar dan asnaf yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Pejabat Daerah, selain penduduk yang mempunyai penyakit kronik yang berdaftar dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Beliau berkata Kerajaan Negeri berharap penduduk yang terlibat terus membayar tunggakan selepas menerima peruntukan terbabit bagi mengelakkan jumlah tunggakan bertambah.
“Peruntukan ini diberi secara ‘one-off’ dan mereka perlu membayar sebelum 31 Dis ini. Saya juga ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mengambil bayaran atau menjadi orang tengah dan sebarang urusan boleh dibuat secara dalam talian erumah.johor.gov.my atau terus ke pejabat SUKJ,” jelasnya.
Sehingga kini terdapat 30 peratus penduduk yang gagal membayar sewa rumah berikutan tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap selain sikap penyewa yang degil untuk membayar.
“Kita juga ada menerima laporan mengenai penyewa PPR yang menyewakan kediaman mereka dan untuk golongan ini, mereka tidak layak mendapatkan peruntukan ini.
“Kita juga memerlukan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada penduduk untuk membayar sewa mereka bagi kerajaan menjalankan kerja-kerja penyelengaraan dan pembersihan kawasan kediaman, jadi ini adalah bantuan terbaik yang kerajaan Pakatan Harapan boleh berikan,” katanya. – BERNAMA
![[TIDAK RASMI] Dzulkefly Diekori Rapat Tengku Zafrul Di Kuala Selangor](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/11/zafrul-1.jpeg)