KUALA KANGSAR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meminta semua gerakan koperasi di negara ini memainkan peranan besar daripada pelbagai sudut ekonomi.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata perkara tersebut perlu dilaksanakan atas saranan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) selepas pihaknya mengadakan pertemuan bersama majlis berkenaan, baru-baru ini.
“Mereka (CEP) mahukan koperasi memainkan peranan penting dari segi peruncitan dan pemborongan, perladangan, pertanian, perumahan dan sebagainya.
“Kesemua sektor ini perlu diperkasa dan dimajukan kerana ia melibatkan keseluruhan perkhidmatan selain memanfaatkan rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kuala Kangsar ke-31 di Dewan Millennium, di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata dalam melaksanakan perkara itu, perlu ada penyelarasan yang jelas terhadap peranan serta tanggungjawab antara tiga agensi – Angkasa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Maktab Koperasi – supaya tiada pertindihan tugas dalam membangunkan gerakan koperasi.
“Dalam konteks ini juga, saya akan berbincang dengn Maktab Koperasi dan SKM supaya sebuah jawatankuasa penyelarasan dapat diwujudkan.
“Ini bagi memastikan Angkasa dapat menjelaskan perkara ini kepada kerajaan atau CEP tentang cadangan dan penyelarasan tersebut,” katanya sambil menambah beliau akan bertemu semula barisan CEP yang diketuai bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata sehingga kini, 14,000 koperasi diwujudkan dengan jumlah keanggotaan 6.5 juta orang.
Katanya gerakan koperasi mencatat nilai perolehan berjumlah lebih RM40 bilion pada tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini. – BERNAMA
