• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Friday, April 3, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Keluarga Anwar Restu Rafizi Bertanding?

oleh
01/08/2018
dalam Politik, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KEHADIRAN Nurul Izzah Anwar dalam kem diketuai Rafizi Ramli, seakan-akan beri mesej bahawa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui beliau bertanding dalam pemilihan parti bulan depan.

Kelmarin, sesi pengenalan ‘ahli kem’ Rafizi itu seperti menceritakan segala-galanya mengenai ‘perang dingin’ yang teruk melanda PKR terutamanya mengenai ‘orang dalam’ yang cuba melenyapkan pengaruh Anwar selama ini.

Rafizi akan tanding jawatan Timbalan Presiden dan Nurul Izzah pula rebut Naib Presiden dengan hampir kesemua dalam kem itu terdiri daripada pemimpin PKR yang tidak dapat tempat dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kecuali Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang menjadi timbalan menteri, calon lain tiada apa-apa jawatan iaitu Johari Abdul (Sungai Petani), William Leong (Selayang), S. Kesavan (Sungai Siput) dan Akmal Nasir (Johor Bahru).

Jika dinilai daripada apa diperkatakan Rafizi serta beberapa ahli kemnya, mereka kini berdepan satu blok lebih berkuasa seolah-olah meminggirkan Anwar dan isterinya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ia berlaku begitu pantas selepas kejayaan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu tanpa dijangka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu dengan sekutunya iaitu DAP, PPBM dan PAN serta Parti Warisan di Sabah.

Mengikut laporan media cenderung PH selain pengamat politik tanah air, satu lagi kem tersebut diketuai sendiri oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diangkat sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Pada bulan lalu, akhbar berpengaruh Si­ngapura, The Straits Times dalam rencana analisis politiknya men­dakwa tindakan Mahathir melantik Mohamed Azmin sebagai percubaan proksi bagi mengimbangi pengaruh kuat Anwar.

Walaupun sebahagian besar kem Rafizi berucap kelmarin berusaha untuk tidak cuba sebut nama Mohamed Azmin, namun mesej diberikan amat jelas me­nge­nai siapakah ‘musuh’ yang bakal mereka hadapi pada pemilihan parti.

Rafizi pernah lantang kritik pe­lantikan ahli Kabinet kanan yang baginya dibuat Mahathir langsung tanpa penyertaan kepimpinan PKR dan kini menyaksikan Mohamed Azmin memegang portfolio penting dianggap cukup strategik.

Manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang dikatakan berada dalam kem sama dengan Mohamed Azmin, pula tanpa disangka banyak pihak dilantik Mahathir sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, ketiadaan Anwar selama ini telah membuka peluang kepada Mohamed Azmin menyerlah.

Beliau kemudian mencipta pengaruh besar di Sela­ngor iaitu kubu terkuat PKR ketika menjadi menteri besar pada 2014 menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat parti itu kerana tidak bersetuju dengan Langkah Kajang.

Walhal semua maklum, langkah dirangka Rafizi itu sebenarnya mahu melantik Anwar sebagai menteri besar baharu sebelum tiba-tiba ditukar kepada Wan Azizah dan akhirnya Mohamed Azmin pula yang dipilih ke jawatan tersebut.

Ketika berucap kelmarin, Rafizi mengutarakan kebimbangan perubahan sikap pe­mimpin PKR yang kini berpangkat dalam kerajaan dan dikhuatiri memulakan budaya feudal, ‘cium tangan’ serta trend beri jawatan kepada penyokong.

Sementara itu apabila ditanya pemberita, Johari yang turut merebut jawatan Naib Presiden mendesak Kerajaan Selangor serta PKR negeri tersebut yang diketuai Mohamed Azmin selaku Pengerusi agar menjalankan siasatan.

Ini terhadap dakwaan kononnya berlaku amalan nepotisme di negeri berkenaan termasuk dalam soal pelantikan jawatan atau soal pemberian tender projek di bawah kerajaan Selangor yang berlaku secara terang-terangan.

Nurul Izzah dalam pada itu pula ketika berucap kerap mem­bela nasib Rafizi yang gigih menyelamatkan bapanya selepas bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilihat tidak merasai nikmat kejayaan PH memenangi PRU ke-14.

Rafizi bagaimanapun menjelaskan sebab utama dirinya merebut jawatan Timbalan Presiden adalah untuk memastikan Anwar terus mempunyai sokongan daripada ahli parti yang jujur serta tidak bermuka-muka.

Beliau kini berubah menjadi ‘ayam tambatan’ untuk menyelamatkan imej keluarga Anwar dalam PKR yang seolah-olah ditenggelami dengan kehebatan Mohamed Azmin dalam pelbagai jawatan strategik kerajaan. – Mynewshub.TV

Tags: Rafizi Ramli
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Rafizi Persoal Ketepatan Angka Defisit Fiskal Negara

Rafizi Persoal Ketepatan Angka Defisit Fiskal Negara

26/01/2026
0

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan ketepatan angka defisit fiskal negara dengan alasan bahawa bayaran...

Sprm Nafi Dakwaan Rafizi, Tegas Tidak Diperguna ‘Tekan’ Pemimpin Lawan Kem Izzah

Sprm Nafi Dakwaan Rafizi, Tegas Tidak Diperguna ‘Tekan’ Pemimpin Lawan Kem Izzah

07/12/2025
0

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, bahawa agensi itu digunakan untuk...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd