KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan semua pihak bahawa ungkapan rahmatan lil ‘alamin merupakan slogan yang penuh dengan kemuliaan dan bukan sesuatu yang bersifat apologetik.
Menurut beliau, rahmatan lil ‘alamin di sisi Islam bermaksud Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W merupakan rahmat untuk seluruh alam seperti yang disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Anbiya ayat 107.
“Ini bermaksud ajaran Nabi Muhammad itu hidayah, kebaikan dan keadilannya merangkumi dan mencapai seluruh alam tanpa kecuali.
“Muslim, bukan muslim, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan segalanya terangkum dalam rahmat yang dibawa oleh Islam. Setiap pihak akan menerima bahagian hak mereka dari kebaikan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mufti Perlis mengingatkan semua pihak supaya tidak tersalah tafsir rahmatan lil ‘alamin hanya bermaksud mempertahankan hak bukan Islam demi keadilan seluruh alam.
Kata beliau, bukanlah rahmatan lil ‘alamin jika hanya bangkit membela hak bukan Islam atau bukan Melayu, tetapi membisu berhubung dengan hak muslim dan Melayu.
“Jika kita membantah terrorist dalam kalangan muslim, kita juga sepatutnya membantah terrorist dalam kalangan bukan muslim. Jika tidak, itu bukan rahmatan lil ‘alimin.
“Jika kita hanya lantang mengkritik sikap perkauman Orang Melayu, tetapi diam membisu apabila membabit bukan Melayu, itu bukan rahmatan lil ‘alamin.
” Ia bukan sekadar untuk membela sesetengah pihak dan melupakan pihak yang lain. Apatah lagi jika sekadar membela penganut agama lain, melupai penganut agama sendiri,” katanya. – MYNEWSHUB.TV