BAITULMAQDIS – Parlimen Israel semalam meluluskan undang-undang menjadikan Israel sebagai negara bangsa Yahudi, sekali gus menimbulkan kebimbangan cetus diskriminasi secara jelas terhadap kaum Arab.
Ahli Parlimen yang berketurunan Arab dan Palestin sama ada Muslim atau Kristian menggelarkan undang-undang aneh itu bersifat perkauman serta cuba membenarkan dasar Apartheid.
Penggubalan undang-undang itu diterima dengan 62 undi sokong berbanding 55 bantah. Ia turut menetapkan Ibrani sebagai bahasa kebangsaan dan mengisytiharkan komuniti Yahudi sebagai satu kepentingan nasional.
Bahasa Arab yang sebelum ini dianggap sebagai bahasa rasmi, hanya diberi status istimewa.
Undang-undang itu yang diluluskan awal pagi semalam, menyatakan bahawa Israel sebagai tanah air bersejarah Yahudi, sekali gus mempunyai hak dalam menentukan nasib bangsa mereka di situ.
Bagaimanapun, klausa yang sangat kontroversi yang dapat dilihat secara spesifik iaitu cuma komuniti Yahudi diubah selepas mendapat kritikan termasuk daripada Presiden Israel, Reuven Rivlin.
Undang-undang tersebut menjadi sebahagian daripada perundangan asas negara Israel yang berfungsi sebagai perlembagaan de facto.
“Ini adalah masa bersejarah bagi negara Israel dalam menentukan bahasa, lagu kebangsaan dan bendera kita,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selepas undian.
Pelbagai ahli politik pembangkang mengecam undian tersebut. Ketua perikatan utama sekutu Senarai Kerjasama Arab, Ayman Odeh menggelarnya sebagai ‘kematian demokrasi’.
Beberapa Ahli Parlimen Arab menggelarkan itu undang-undang perkauman selain bertindak mengoyak salinan rang undang-undang di dalam bilik Knesset, Parlimen Israel selepas diluluskan.
Rakyat Arab menyumbang kira-kira 17.5 peratus daripada populasi lapan juta penduduk Israel. Mereka telah lama mengeluh mengenai diskriminasi itu. – AFP/KOSMO ONLINE

