SAN DIEGO – Lebih 450 ibu bapa pendatang yang dipisahkan daripada anak mereka, ketika masuk ke Amerika Syarikat (AS) secara haram sudah tidak berada dalam negara itu walaupun anak mereka masih ditahan, menurut fail mahkamah oleh kerajaan persekutuan dan Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), semalam.
Ketiadaan 463 ibu bapa itu yang dimaklumkan peguam kerajaan AS sebagai ‘di bawah penilaian’ mungkin menjejaskan usaha kerajaan menyatukan keluarga terpisah menjelang Khamis depan iaitu tarikh yang ditetapkan sebuah mahkamah persekutuan.
Fail itu tidak menyatakan mengapa 463 ibu bapa terbabit sudah keluar negara, namun pegawai kerajaan sebelum ini mengesahkan ada ibu bapa sudah dihantar pulang tanpa anak mereka.
Menurut fail itu, 879 ibu bapa sudah ditemukan semula dengan anak mereka, setakat semalam.
Kira-kira 2,500 kanak-kanak diasingkan daripada ibu bapa mereka, selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan dasar ‘tiada kompromi’ pada April bertujuan mencegah kemasukan pendatang haram.
Dasar itu ditamatkan pada Jun, susulan kemarahan antarabangsa berhubung layanan kerajaan terhadap kanak-kanak pendatang.
Bulan lalu, hakim daerah AS, Dana Sabraw di San Diego mengarahkan kerajaan menyatukan semula kanak-kanak terbabit dengan ibu bapa mereka dalam kes yang dikemukakan ACLU.
Kerajaan semalam berkata, 917 ibu bapa sama ada tidak layak atau masih tidak diketahui jika layak untuk disatukan dengan anak mereka. Jumlah itu termasuk ibu bapa yang sudah tidak berada dalam negara termasuk mereka yang dianggap tidak sesuai kerana mempunyai sabitan jenayah atau sebab lain.
Aktivis pendatang sudah memberi amaran mengenai ibu bapa yang dihantar pulang tanpa anak mereka dengan menyatakan ia akan menimbulkan masalah dalam kes imigresen kanak-kanak.
“Bagaimana kita boleh selesai satu-satu kes, jika kita tidak tahu hasrat ibu bapa mereka?” kata jurucakap Kanak-Kanak Memerlukan Pertahanan, Megan McKenna, awal bulan ini. – Reuters

