PENOLAKAN jawatan anggota Majlis Tertinggi UMNO oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak sampai sehari selepas dilantik ke jawatan itu mencetuskan kemarahan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dalam kecaman terbuka terbaharunya terhadap parti.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu kesal dengan lantikan bekas peguam negara itu dan menganggap keputusan lantikan itu sebagai memalukan.
Apandi segera menolak lantikan itu kerana bimbang dengan persepsi buruk yang bakal timbul terhadap parti berkaitan dengan keputusannya semasa menjawat jawatan peguam negara.
“Pelantikan awal mengecewakan. Yang ini (penolakan pelantikan Mohamed Apandi) memalukan.
“Kita perlu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti,” katanya dalam kenyataan di Twitter.
Kemarahan terbaharu ditunjukkan Khairy yang tewas dalam pemilihan jawatan presiden bulan lalu telah menimbulkan tanggapan yang beliau bakal keluar parti dan menyertai parti anggota Pakatan Harapan.
Khairy dianggap menunjukkan sikap tidak sehaluan dengan parti, dan menunjukkan tidak sehaluan dengan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, Khairy menolak tawaran menjawat jawatan setiausaha agung UMNO, mengatakan beliau tidak mahu sebarang jawatan tinggi dalam parti dan mahu bebas bersuara.
Katanya, beliau ingin menumpukan pada tugas sebagai Ahli Parlimen Rembau. – Mynewshub.tv
