TOKYO – Seorang bekas jururawat yang didakwa membunuh sehingga 20 pesakit warga emas dengan menyuntik bahan kimia dalam titisan cecair intravena kini dalam tahanan polis, lapor media Jepun.
Suspek itu dilaporkan sebagai berkata, dia mahu mengawal waktu kematian pesakit.
Polis hari ini berkata, Ayumi Kuboki, 31, ditahan atas tuduhan pembunuhan seorang lelaki berusia 88 tahun di sebuah hospital di pinggir bandar Tokyo. Mereka bagaimanapun enggan mengesahkan siasatan kes lain dikaitkan dengan suspek.
Dia ditahan Sabtu lalu atas tuduhan membunuh pesakit warga emas pada 2016, namun dia memaklumkan kepada polis bahawa sudah membunuh sehingga 20 mangsa, kata media tempatan.
Suspek dipercayai tidak bekerja sebagai jururawat sejak kematian pada 2016.
Kuboki didakwa membunuh lelaki berusia 88 tahun terbabit dengan menyuntik bahan disinfektan atah penyahjangkit ke dalam titisan cecair intravena beliau, menurut laporan.
Suspek sudah memberitahu polis bahawa dia mencampurkan disinfektan ke dalam titisan cecair intravena terhadap kira-kira 20 pesakit, lapor agensi berita Jiji memetik sumber polis yang tidak didedahkan.
Kuboki dilaporkan menafikan sebarang permusuhan dengan pesakitnya, namun dia berkata, sukar untuk mengendalikan kematian dalam syif dan menyuntik titisan itu untuk mengawal bila pesakit akan mati.
“Tugas menjelaskan kematian kepada waris sukar, jika pesakit mati ketika waktu bekerja saya,” katanya kepada penyiasat, kata Jiji. – AFP

