PRIHATIN… Achey Bocey menolak banyak undangan persembahan pada musim hari raya ini demi bantu isterinya, Nor Hasanah Yahaya menjaga anak angkat mereka yang masih kecil dan memerlukan perhatian khusus.
Pelakon tersebut dipetik daripada laporan BH Online berkata, dia enggan membiarkan isterinya keseorangan dalam menguruskan bayi perempuan diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir yang mana belum pun mencecah usia 40 hari.
Malah Achey memberitahu buat waktu ini dia dan isteri masih belum mempunyai rancangan untuk untuk menggunakan khidmat pembantu rumah bagi menjaga bayi comel itu.
“Ketika ini saya terpaksa tolak tawaran bekerja kerana mahu bantu isteri menguruskan Tiara. Insya-Allah, apabila dia sudah usia 50 hari dan makin kuat, saya akan kembali bekerja seperti biasa.
“Sambutan hari raya kali ini juga sangat berbeza bagi kami. Saya sentiasa ada di rumah kerana enggan terima sebarang undangan atau peluang kerja. Keutamaan diberikan sepenuhnya buat Tiara yang masih kecil,” kata Achey.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah turut memberitahu Aidilfitri tahun ini memberi seribu satu makna buat dirinya dan isteri dengan kehadiran puteri kesayangan mereka itu.
Pada masa sama, dia juga menyifatkan kehadiran Tiara sejak 6 Ramadan lalu sebagai mengisi kekosongan sepanjang tempoh mereka berusaha mendapatkan cahaya mata. – MYNEWSHUB.CC