PADA usianya yang mencecah 93 tahun, komitmen Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap tugasnya sebagai perdana menteri dilihat masih tinggi dan tidak ada tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.
Kesungguhan yang ditunjukkan Mahathir itu juga dalam masa yang sama menimbulkan kebimbangan buat isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah memandangkan beliau menerima jawatan sebagai pentadbir negara pada usia yang lanjut.
Selain isteri beliau, kebimbangan mengenai umur dan kebolehan Mahathir yang merupakan pemimpin paling tua di dunia itu turut disuarakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) tetap yakin Mahathir mampu menggalas tugas dan amanah rakyat dengan baik biarpun usianya bakal menginjak 93 tahun Julai ini.
Dalam masa sama, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata bahawa pemimpin-pemimpin dalam PH mampu meneruskan tugas jika sesuatu berlaku terhadap Mahathir.
“Kita sentiasa bersedia (pikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan Dr. Mahathir kepada menteri Pakatan Harapan) dan juga kita tahu dengan gandingan Dr. Mahathir dan pengaruh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) PH akan jadi lebih mantap.
“Kita juga yakin dapat menggalas (amanah) kalau apa-apa berlaku kepada Dr. Mahathir,” ujarnya seperti dipetik portal berita Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja itu bagaimanapun menegaskan bahawa perdana menteri berada dalam keadaan sihat ketika ini.
Gabungan PH berjaya menakluki Putrajaya sekaligus diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, PH telah melantik Mahathir untuk menjadi perdana menteri biarpun sedar umurnya semakin lanjut.
Sejak diamanahkan memegang jawatan tersebut, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilihat bekerja keras bagi memperbaiki segala kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.
Disebabkan kesibukan beliau bekerja, isterinya Siti Hasmah pernah membangkitkan kebimbangan mengenai perkara itu melalui satu posting yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kelab Che Det.
“Saya risaukan kesihatan Tun yang tak cukup tidur. Waktu tidur beliau digunakan untuk meneliti setiap dokumen kerajaan.
“Dalam satu malam beliau meneliti lebih 200 dokumen sehingga pukul 4-5 pagi. Pukul 7 pagi beliau sudah berada di pejabat,” luahnya dalam entri berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/EZ