SHAH ALAM – Kritikan PAS terhadap Kerajaan Persekutuan hanya untuk memastikan negara ditadbir dengan baik.
Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Syahir Sulaiman, berkata PAS adalah satu-satunya blok parti pembangkang di negara ini yang mempunyai kredibiliti untuk menegur kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad kini.
Katanya, kritikan dan persoalan sering dilontarkan PAS sebelum ini berikutan fungsinya sebagai rakyat yang prihatin terhadap negara.
“Hanya PAS yang mempunyai kredibiliti. BN (Barisan Nasional) tiada, bagaimana BN nak kritik, nak tegur rasuah kerana mereka terpalit dengan rasuah 1MDB dan seumpamanya.
“Kita juga kena tahu perkara ini. Apabila PAS kritik PH (Pakatan Harapan), bukan bermaksud PAS restu dengan kesalahan dilakukan BN. Apabila PAS soal PH, kononnya PAS sekarang bersama Datuk Seri Najib Razak, ia adalah perkara berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada forum bertajuk ‘Pelan Pemimpin Muda Untuk Negara’, di sini, hari ini.
Turut hadir sebagai ahli panel adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan peguam Syahredzan Johan.
Syahir mengulas dakwaan bahawa PAS dilihat ‘flip-flop’ dalam kritikannya terhadap PH sebelum ini, terutama membabitkan isu royalti minyak di Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun, PAS kemudian mengadakan pertemuan bersama Dr. Mahathir di Putrajaya, baru-baru ini, yang dipercayai ada kaitan dengan isu berkenaan. – BH Online