KEMAMAN – Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas setelah terjun ke dalam Sungai Kemaman dari sebuah kapal pada 12 tengah malam Khamis lepas ditemukan terapung 100 meter dari lokasi kejadian pukul 6.50 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Haki Hasbullah berkata mayat mangsa dijumpai terapung berhampiran sebuah kapal dan dibawa naik ke darat oleh pasukan penyelamat.
“Mayat mangsa yang berumur 33 tahun itu telah dikenal pasti oleh abangnya sebelum dibawa pihak polis ke bahagian Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
“Terdahulu pada pukul 3.40 petang semalam, sehelai seluar bersama tali pinggang ditemui anggota Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dan dipercayai milik mangsa lemas tersebut.” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd Haki, operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh semua agensi yang terlibat telah dihentikan pada 8.45 pagi.
Sebelum ini Op SAR telah dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian menggunakan bot di permukaan air oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Selain itu, Op SAR turut menggunakan kaedah selam ke dasar sungai yang dibantu pasukan skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai serta Kuala Berang. – BERNAMA

