KLUANG – Anggota Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik berhasrat menjadikan Simpang Renggam sebagai bandar berkembar dengan beberapa bandar di Amerika Syarikat dan Australia bagi mentransformasikan bandar berkenaan.
Maszlee berkata beliau kini dalam peringkat perbincangan bersama duta dari dua negara tersebut bagi merealisasikan hasrat itu.
“Dalam perbincangan bersama duta-duta negara asing yang melawat Kementerian Pendidikan, mereka membawa idea untuk program bandar berkembar,” kata beliau yang juga Menteri Pendidikan.
“Beberapa duta negara sudah bersetuju seperti Amerika Syarikat dan Australia, dan mereka sedang mencari bandar yang sesuai untuk dijadikan bandar berkembar dengan Simpang Renggam yang mana kita berharap supaya rakyat Simpang Renggam dapat ke sana dan mereka ke sini dan mungkin kita boleh buat pertukaran pelajar, pelancongan dan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini.
Maszlee berkata antara bandar yang dicadangkan adalah Queensland di Australia serta Louiseville di Kentucky dan Anaheim di California, namun, pemilihan ketiga-tiga bandar ini belum dimuktamadkan.
Katanya, oleh kerana Simpang Renggam tidak mempunyai tarikan, maka, pengwujudan bandar kembar itu dirasakan dapat menarik kehadiran pelancong dan meningkatkan ekonomi penduduk.
“Kita cuba jadikan projek perintis untuk bandar berkembar ini dan manfaatnya akan membuka banyak peluang seperti hub pendidikan, peluang perniagaan, IKS dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penyediaan bas percuma, Bas Harapan Johor untuk kemudahan masyarakat Simpang Renggam secara menyeluruh.
Beliau berkata ketika ini terdapat bas percuma iaitu Bas Muafakat Johor yang diperkenalkan kerajaan negeri terdahulu, namun, ia hanya sekadar satu laluan.
“Oleh kerana Simpang Renggam kurang menjadi daya tarikan, maka, pengangkutan awam tidak banyak di sini dan menyukarkan anak-anak kita ke sekolah.
“Jadi, sekarang ini saya sedang meminta kerajaan negeri untuk menyediakan Bas Harapan. Kita hendak minta lebih banyak laluan supaya memudahkan anak-anak kita pergi ke Kluang, Ayer Hitam, Renggam, Kulai, Layang-layang dan sebagainya,” katanya.
Menurut Maszlee, pada dasarnya, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian bersetuju dengan permintaan itu, namun, ia perlu diperhalusi bagi meneliti kos dan mencari penaja seperti syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sudi menaja menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai desas desus pelantikan Timbalan Menteri Pendidikan, beliau berkata ia terserah kepada keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Namun, beliau membayangkan calon yang dipilih itu merupakan seorang wanita. – BERNAMA
