BERTENTANGAN dengan retorik semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mengatakan negara Malaysia sedang dijual kepada China, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu wawancara mengatakan Malaysia mengalu-alukan pelaburan China.
Bercakap kepada South China Morning Post dalam wawancara semalam, Perdana Menteri berkata sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia tidak mahu terlibat dalam krisis dengan mana-mana negara.
“Kami mengalu-alukan pelaburan asing langsung dari mana-mana, tentu sekali dari China,” kata Mahathir.
Penjelasan ini membuktikan yang retorik anti-China yang dijadikan bahan kempen utama menuju PRU14 lalu tidak jujur dan menyelewengkan fakta sebenar.

Apa yang dilakukan sepanjang kempen PRU14 ialah kempen menakut-nakutkan tentang China, sehingga menyebabkan ramai percaya dengan penipuan dan percaya China akan dihalang daripada meneruskan projek di Malaysia.
Dalam satu lawatan beliau ke kawasan perindustrian di Gebeng, dekat Kuantan, Pahang, Mahathir memberi gambaran yang amat menakutkan tentang pelaburan dan pengaruh China.
Beliau yang juga dikenali sebagai bapa projek mega mengecam kuat projek ini, dan lebih melucukan, menyebut papan tanda yang langsung tidak ada bahasa kebangsaan, bahasa yang beliau sendiri pinggirkan.
Saksikan sendiri retorik cakap tak serupa bikin beliau, yang mengkritik hingga kepada penggunaan bahasa kebangsaan yang beliau sendiri tidak pedulikan.
Kempen jahat ini juga memburukkan secara maksima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa menjual negara kepada China.

Pengakuan Mahathir ini bermakna kerajaan baharu beliau sekadar meneruskan agenda “menjual negara kepada China” dengan sedikit ubah suai.
Ramai yang sangka, banyak projek China akan bungkus kerana dihentikan dan ditutup, dan mereka akan pulang beramai-ramai.
Apa yang berlaku selepas menubuhkan kerajaan amat jauh beza dengan apa yang disebut-sebut semasa kempen PRU14.

Pelaburan China, dan projek besar Belt and Road Initiative tetap disokong oleh kerajaan baharu, sama seperti pendirian kerajaan terdahulu dan kerajaan banyak negara yang terlibat dengan pelaburan infrastruktur Belt and Road.
Ini jelas satu bukti bahawa retorik kempen pilihan raya berbentuk kempen emosi untuk menakutkan rakyat sehingga menyokong mereka.
Apabila sudah menang, janji-janji semasa kempen itu tidak terlaksana, sama seperti janji-janji yang lain dalam manifesto.
Kempen mendakwa kerajaan sebelum ini menjual negara kepada China hanyalah satu daripada retorik untuk menipu dan memperbodohkan rakyat demi undi.
Semakin lama Pakatan Harapan menguasai negara, akan lebih banyak penipuan dan pembodohan yang rakyat akan saksikan sendiri. – Mynewshub.cc

