PERNAHKAN anda melihat imej lelaki tertinggi di dunia yang mana ketinggiannya jauh lebih tinggi daripada ketinggian manusia biasa?
Apabila berdiri di sebelahnya sahaja, sudah cukup membuatkan diri kita bagai manusia kerdil yang tidak cukup ‘zat’.
Inilah keunikan manusia gergasi paling tinggi pernah direkodkan dalam sejarah, Robert Wadlow yang memiliki ketinggian 272 sentimeter (cm).

Robert dilahirkan dalam keadaan normal pada 22 Februari 1918 di Alton, Illinois, Amerika Syarikat (AS), namun tiada siapa yang menyangka dia akan menjadi manusia gergasi yang membesar bersama ketinggian luar biasa.
Ketinggian Robert pernah menjadi berita paling sensasi di zamannya, lebih-lebih lagi apabila wujudnya rakaman video dan foto lama membuktikan bahawa lelaki tertinggi di dunia ini pernah wujud suatu ketika dahulu.

Tumbesaran luar biasa Robert menurut pakar adalah disebabkan oleh keadaan pertumbuhan ganetik di bahagian otak yang mengawal hormon dikenali ‘hyperactive pituitary gland’.
Pada saat usia Robert menjangkaui 5 tahun, saiz pakaian yang muat dan sepadan dengan ketinggiannya ialah saiz pakaian remaja berusia 17 tahun.
Ketika itu, ketinggian Robert sudah pun mencapai 163 cm, iaitu purata ketinggian normal golongan lelaki di Malaysia.
Tiga tahun kemudian ketinggiannya sudah melepasi ketinggian bapanya yang mana mencatatkan 187 cm bersama berat badannya 90 kilogram (kg).


Ketika berusia 13 tahun, Robert menerima gelaran ‘ahli pengakap paling tinggi di dunia’ apabila pakaiannya untuk unit beruniform itu terpaksa dijahit khas untuknya bersama alatan perkhemahan serta beg tidur yang diubahsuai.
Robert kemudian memecah rokod sebagai lelaki dan remaja tertinggi di dunia apabila ketinggiannya mencecah 250 cm seawal usia 18 tahun.
Bagaimanapun, akibat pertumbuhan luar biasanya, Robert menderita sejenis penyakit pelik yang menyerang pada keseluruhan bahagian kakinya.

Pernyakit yang tidak dapat dikenal pasti itu membuatkan kakinya menjadi lemah dan tidak dapat berdiri dengan baik.
Robert terpaksa menggunakan bantuan pendakap kaki dan tongkat khas bagi membolehkan dirinya berjalan secara normal.
Namun empat tahun kemudian, kesakitan yang ditanggung akibat memakai pendakap kaki yang sering bergesel pada buku lalinya, menyebabkan kulitnya melecet kemerahan dan kelama-lamaan melepuh.

Kesan daripada itu menyebabkan dia dijangkiti bakteria yang sangat teruk pada 15 Julai 1940, sehinggalah mengakibatkan kematian biarpun usianya pada ketika itu baru mencecah 22 tahun.
Kata-kata terakhir Robert sebelum kematiannya adalah dengan memberitahu keluarganya yang dia tidak dapat pulang ke rumah untuk menyambut majlis ulang tahun perkahwinan nenek dan datuknya.

“Doktor beritahu saya masih tidak sihat dan tidak boleh pulang untuk meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan datuk dan nenek,” katanya.
Sebelum kematian manusia unik itu, para doktor yang merawatnya telah mengukur dan mencatatkan ketinggian terakhir robert adalah sebanyak 272 cm.
Malang bagi lelaki gergasi ini, umurnya tidak panjang untuk terus memegang rekod sebagai manusia paling tinggi di dunia namun rekodnya masih kekal dalam Guinness Book World of Records. – MYNEWSHUB.CC