GENEVA (AFP) – Sekurang-kurangnya 1,000 pendatang mati lemas sepanjang tahun ini, termasuk 200 yang dilaporkan maut dalam tempoh dua hari lalu di kawasan perairan Libya, yang menjadi laluan utama menghubungkan Afrika dan Eropah.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan berkata, kadar kematian itu amat mengejutkan dan mendesak tindakan segera diambil bagi mengurangkan jumlah berkenaan.
“UNHCR amat kecewa dengan peningkatan jumlah kematian pelarian dan pendatang akibat lemas di lautan dan menggesa tindakan segera pihak antarabangsa, termasuk pihak pertubuhan bukan kerajaan dan kapal komersial bagi mempertingkatkan usaha menyelamat di kawasan perairan Mediterranean.
“Pada masa sama, jaminan perlu diberikan kepada pemohon suaka buat kali pertama untuk mendapatkan perlindungan di mana-mana negara, selain menyediakan laluan alternatif kepada pelarian di Libya yang cuba menyeberangi lautan untuk memperoleh perlindungan serta keselamatan.
“Semua langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan tiada lagi mangsa yang mati lemas di perairan terbabit,” katanya. – BHarian Online