HAMPIR sebulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, pelbagai isu yang timbul terutama mengenai kegagalan mereka menunaikan janji manifesto mereka sendiri.
Menyedari perkara itu, mereka berusaha sedaya upaya untuk mengalihkan perhatian rakyat dari perkara itu dengan taktik seperti menagih simpati rakyat dan memfokuskan kepada isu-isu selain janji manifesto.
Cubaan menipu hutang negara juga diteruskan setiap hari sedangkan jumlah yang dikira kerajaan sebelum ini adalah menurut piawaian antarabangsa.
Tindakan mereka itu menyebabkan orang ramai mula khuatir dengan keupayaan PH mengemudi negara ini terutama apabila ditadbir seorang pemimpin yang selayaknya kini ‘bersara’ dan ahli kabinet yang tidak berpengalaman.
Baru-baru ini tersebar semula satu catatan lama Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza di laman Facebook yang menceritakan hukum menipu pengundi dengan janji-janji palsu.
Jelas Mohd. Asri, penipuan ini sering berlaku pada musim pilihan raya di mana pihak yang bertanding menabur janji yang mereka sendiri tahu ia tidak dapat dilaksanakan.
Beliau yang merupakan Mufti Perlis berkata, disebabkan janji itu juga, para pengundi tertipu dan membuat pemilihan yang salah kerana telah mempercayai manifesto yang dibuat pihak yang bertanding.
“Penipuan sering berlaku dalam musim pilihanraya. Antaranya, mempamerkan manifesto yang bohong yang pihak yang meletakkan itu sendiri mengetahui bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya.
“Demikian memberikan maklumat palsu mengenai calon yang disokong ataupun yang ditentang. Dengan maklumat yang palsu itu maka pengundi akan tertipu dan membuat keputusan yang salah,” tulisnya dalam entri berkenaan yang dimuat naik pada 6 April lalu.
Justeru, Mohd. Asri berkata, adalah haram untuk pihak yang bertanding pada pilihan raya menipu pengundi melalui janji-janji yang dibuat dan kemudiannya gagal melunaskan apa yang dijanjikan.
Situasi inilah sebenarnya yang sedang berlaku di negara ini sejak kerajaan PH membentuk kerajaan hampir sebulan lalu selepas mendapat mandat dari rakyat yang mengharapkan perubahan.

Bagaimanapun, perubahan yang didambakan itu nyata sekali gagal dikecapi oleh orang ramai, sehingga timbul beberapa sindiran di media sosial oleh netizen yang merindui zaman di bawah kerajaan Barisan Nasional.
Sehingga kini, terlalu sedikit janji dalam manifesto PH yang berjaya ditunaikan malah dalam masa yang sama sering memberikan pelbagai alasan untuk tidak melunaskan janji yang dibuat sewaktu berkempen.
Janji manifesto yang dibangkitkan sebelum pilihan raya umum lalu seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, tangguh bayaran PTPTN dan banyak lagi sudah tidak nampak tanda akan berjaya dilaksanakan.
Menyedari sukar untuk melaksanakan segala perkara yang dijanjikan kepada rakyat, pemimpin PH tampil menggunakan taktik menyalahkan kerajaan terdahulu selain memberi alasan ‘menangguhkan’ dahulu janji atas sebab tertentu.
Lebih menyedihkan, penyokong tegar parti berkenaan juga semakin berani tampil bersuara menyampaikan pandangan liberal mereka kerana kononnya mereka bebas bersuara selepas kemenangan PH.
Dengan itu juga, timbul isu mengenai pengkajian semula fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pemilihan PH yang mencadangkan seorang individu bukan Islam untuk dilantik sebagai Peguam Negara.
Justeru, anda boleh menilai sendiri sama ada kerajaan yang mentadbir negara sekarang ini mempunyai persamaan dengan ciri-ciri yang dibangkitkan dalam catatan Mohd. Asri itu.
Buat masa ini, situasi janji ‘dicapati’ oleh kerajaan PH dijangka akan berterusan dan rakyat pula yang terpaksa menanggung akibatnya setelah termakan dengan ‘janji-janji manis’ sewaktu kempen pilihan raya yang lalu. – MYNEWSHUB.CC/EZ