TAIPING – Dua pemancing ditemukan mati lemas pagi tadi, manakala seorang lagi yang merupakan anak kepada seorang daripada mangsa lemas itu, masih hilang selepas bot mereka dipercayai karam di kawasan Kuala Sepetang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab. Hamid berkata kedua-dua mangsa itu dikenali sebagai Beh Liang Tik, 49, dan rakan anaknya Low Eng Chuan, 16.
Katanya anak mangsa, Beh Chun Hui masih belum ditemui dan usaha mencari sedang giat dijalankan melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Ketiga-tiga mangsa dilaporkan keluar ke laut untuk menangkap ikan di perairan Kuala Sangga menaiki sampan fiber kira-kira 10 pagi semalam, namun tidak pulang dan dipercayai hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut daripada orang awam kira-kira pukul 8.25 pagi.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dijumpai oleh nelayan tempatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

