NAMPAKNYA pelakon jelita, Rozita Che Wan dilihat semakin mengorak langkah dalam dunia media sosial apabila mula aktif menggunakan aplikasi, Twitter sejak Selasa.
Memetik laporan mStar Online, meskipun sudah agak lama memiliki akaun berkenaan namun pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar @ Che Wan tidak bergiat aktif di laman sosial tersebut.
Pun begitu, baru-baru ini Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta telah memuat naik status pertamanya yang meminta netizen berhati-hati sekiranya ada menulis tentang dirinya.
“Hi. Ini official Twitter account Rozita Che Wan. Hati-hati hampa (hangpa – kamu) semua yang dok Tweet pasai kami,” tulisnya.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian berbeza, Che Ta memberitahu seseorang itu jangan terlalu taksub dalam mahukan perhatian sehingga mengabaikan maruah.
Kata Che Ta, dalam kehidupan ini bukan semua perkara untuk dijadikan pameran umum dan ada perkara yang perlu disimpan rapi buat tatapan dan kenangan peribadi.
“Begitulah dalam kita rancak bermain sosial media, jangan semua dilihat sewenang-wenangnya boleh ditayangkan demi meraih keghairahan ramai. Adakalanya kita lupa, sisi peribadi itu juga perlu ditutup demi menjaga aib atau khilaf manusia.
“#ThreadRCW Sama sama kita istiqomah dan bijak menggunakan media sosial. Jangan sampai semua itu yang mengawal diri dan kehidupan kita. Walahualam,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, sehingga kini Twitter menggunakan nama @rozitachewan1 itu mempunyai 265 pengikut manakala pelakon drama Kiah Pekasam itu mempunyai 3.6 juta pengikut di Instagram. – MYNEWSHUB.CC