KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia kekal berada dalam bahagian negatif pada tengah hari ini apabila para pelabur terus membawa keluar dana daripada pasaran ekuiti, dalam keadaan sentimen lemah.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.45 mata kepada 1,689.87 daripada paras penutup 1,692.32 pada Khamis.
Indeks itu dibuka 9.35 mata lebih rendah kepada 1,682.97 dan bergerak antara paras 1,678.03 dan 1,690.86 sepanjang sesi pagi.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 379 berbanding 275, manakala 392 kaunter tidak berubah, 880 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 944.01 juta unit bernilai RM829.76 juta.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam nota penyelidikannya hari ini berkata pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti Malaysia berjumlah RM2.1 bilion bagi 15 hari pertama bulan Jun tahun ini berbanding RM5.6 bilion pada Mei.
“Jualan asing bersih dalam pasaran ekuiti disebabkan terutamanya keputusan menaikkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), isu-isu perdagangan atau pertikaian di mesyuarat Kumpulan Tujuh (G7) dan ketegangan perdagangan yang berterusan antara AS-China,” kata firma penyelidikan itu.
Maybank IB berpendapat aliran keluar bersih mungkin berterusan, kerana aliran keluar bersih RM4.1 bilion yang dilaporkan dari Januari hingga 15 Jun tahun ini masih kecil berbanding aliran masuk bersih ekuiti sebanyak RM10.6 bilion yang dilaporkan pada 2017.
Selain itu, keputusan dasar monetari yang diambil oleh bank-bank pusat utama baru-baru ini dan kecenderungan menaikkan kadar faedah oleh Fed mungkin menyebabkan dana asing keluar dari pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, bagi mencari kadar hasil lebih baik di tempat lain.
Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga, yang merupakan antara kaunter rugi utama, turun 30 sen kepada RM13.64, Maxis susut 10 sen kepada RM5.47, Axiata dan Sime Darby jatuh lapan sen setiap satu masing-masing kepada RM4.25 dan RM5.27, manakala MISC turun 13 sen kepada RM5.87.
Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy naik 2.5 sen kepada 62.5 sen, Telekom meningkat sembilan sen kepada RM3.23, Iris menokok setengah sen kepada 15.5 sen, manakala PUC berkurangan setengah sen kepada 18.5 sen dan MyEG turun satu sen kepada 99 sen.
BAT merupakan kaunter rugi utama, jatuh 76 sen kepada RM35.32, KESM susut 32 sen kepada RM16.50, Ayer turun 30 sen kepada RM5.20, Superlon berkurangan 28 sen kepada RM1.24 dan KLK turun 20 sen kepada RM23.58.
Indeks FBM Emas turun 22.31 mata kepada 11,934.57, Indeks FBMT100 susut 22.03 mata kepada 11,723.18, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 64.19 mata kepada 11,982.67 danFBM70 berkurangan 46.10 mata kepada 14,496.45.
Indeks FBM Ace meningkat 18.07 mata kepada 5,176.52.
Mengikut sektor, Indeks Perusahaan turun 21.56 mata kepada 3,108.02, Indeks Perladangan susut 31.77 mata kepada 7,505.81, manakala Indeks Kewangan melonjak 107.01 mata kepada 16,853.34. – BERNAMA
