KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini apabila suasana dalam seluruh pasaran kekal tidak menentu berikutan kebimbangan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China semakin memuncak.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.64 mata kepada 1,736.79 daripada paras penutup 1,743.43 pada Isnin.
Indeks itu dibuka 5.23 mata lebih rendah kepada 1,738.20.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 118 berbanding 109, manakala 132 kaunter tidak berubah, 1,550 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 61.19 juta unit bernilai RM31.44 juta.
Public Investment Bank Bhd. dalam nota penyelidikannya berkata bursa tempatan rendah pada sesi pagi apabila ia dipengaruhi saham global yang bermula dengan kurang memberangsangkan disebabkan ketegangan perdagangan itu.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd. menjangka pasaran kemungkinan turun lagi dengan satu lagi penjualan besar-besaran berikutan ketegangan perdagangan dan berpandangan yang saham minyak dan gas mungkin mendapat sedikit perhatian selepas peningkatan harga minyak mentah.
“Secara teknikalnya, kami menjangka FBM KLCI diniagakan antara paras 1,709 dan 1,760 mata hari ini, dengan sokongan ke arah paras 1,709 dan 1,690,” kata firma penyelidikan itu.
Bagi saham wajaran tinggi di Bursa, Maybank susut dua sen kepada RM9.53, Public Bank turun 16 sen kepada RM23.84, Tenaga jatuh empat sen kepada RM14.28, manakala Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM8.39 dan CIMB tidak berubah pada RM5.90.
Dalam kalangan kaunter cergas, Kretam naik 2.5 sen kepada 48.5 sen, Priceworth International meningkat 1.5 sen kepada 25.5 sen, MyEG menokok setengah sen kepada 97 sen, manakala Malaysia Pacific Corp susut 5.5 sen kepada lima sen dan Multi Sports turun setengah sen kepada 1.5 sen.
Nestle menerajui kaunter rugi utama turun 80 sen kepada RM146.20, diikuti BAT yang jatuh 56 sen kepada RM35.20, F&N susut 36 sen kepada RM37.16, PPB berkurangan 28 sen kepada RM19.30 dan Panasonic Manufacturing turun 26 sen kepada RM38.12.
Indeks FBM Emas turun 37.38 mata kepada 12,229.20, FBM70 susut 22.30 mata kepada 14,721.38, Indeks FBMT100 berkurangan 39.08 mata kepada 12,013.01 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 39.19 mata kepada 12,286.26.
Indeks FBM Ace meningkat 2.31 mata kepada 5,322.69.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 59.91 mata kepada 17,311.75, Indeks Perusahaan susut 16.75 mata kepada 3,135.95 dan Indeks Perladangan jatuh 9.12 mata kepada 7,662.62. – BERNAMA

