BUKAN sahaja sebagai isteri, pengacara terkenal iaitu Awal Ashaari turut menyifatkan kehadiran Scha Alyahya dalam hidupnya sebagai pendorong yang baik.
Bersyukur di atas kurniaan itu,Awal meluahkan kata-kata romantis khas buat Scha bersempena ulang tahun keenam perkahwinan mereka menerusi beberapa entri yang dimuat naik di Instagram miliknya pada malam Jumaat.
Menerusi entri tersebut, Awal berkata biarpun sudah enam tahun melayari alam rumah tangga namun perasaannya terhadap aktres jelita berkenaan tidak pernah kurang.
“Tepat waktu ini, enam tahun yang lalu, saya telah berjanji menjaga, mencintai dan menyayangi dia, Sharifah Nor Azean dengan sepenuh jiwa raga.
“Hingga saat ini, perasaan dan cinta saya tetap milik dia dan sedikit pun tak pernah kurang, malahan semakin kuat setiap hari,” katanya.
Tidak ketinggalan, pemilik nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari itu juga menyatakan kehadiran wanita itu sebagai doa yang dimakbulkan ALLAH SWT.
“Dia membuatkan saya mahu jadi lebih baik setiap hari, dan dia merupakan semangat saya. Saya mungkin tak sempurna, tapi dia menyempurnakan saya,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu menerusi entri yang berlainan, bapa kepada Lara Alana itu turut memberitahu dirinya menerima Scha sebagai teman hidup pada enam tahun lalu kerana melihat masa depannya di mata wanita itu.
“Bila orang tanya, apa saya nampak pada dia? Saya nampak masa depan saya di mata dia. Dia ibu kepada anak saya, dia tulang rusuk saya, dia segala-galanya,” ujarnya lagi.
Sehingga kini, perkongsian itu dilihat mendapat lebih daripada 100,000 tanda suka dan terus menjadi perhatian netizen di media sosial. – MYNEWSHUB.CC/AMY