SUSULAN kontroversi ‘panas’ yang melanda dirinya berhubung klip video lucah yang tersebar di internet, pelakon, Syafiq Kyle tampil mengeluarkan kenyataan rasmi setelah berdiam diri selama ini.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di semua platform media sosialnya, pelakon berusia 26 tahun itu berkata dia memandang serius penyebaran video berkenaan dan sedang mengenal pasti jalan penyelesaian terbaik.
Sehubungan itu, Syafiq meminta isu berkenaan tidak dipanjangkan lagi sebagai menghormati bulan Ramadan.
Dalam masa sama, dia menegaskan bahawa dia dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak yang memanjangkan lagi isu berkenaan.
Baca: ‘Syafiq Kyle’ Mohon Maaf, Rayu Padam Video?
“Di samping itu, kami juga sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan kesulitan yang timbul ini dapat dimuktamadkan dengan segera.
“Adalah baik jika perkara ini tidak dipanjangkan lagi selain menghormati bulan Ramadan. Jika ianya masih berpanjangan, kami akan mempertimbangkan tindakan undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, melalui kenyataan berkenaan, Syafiq tidak menafikan bahawa individu yang terbabit dalam video lucah yang tersebar itu adalah dirinya.
Dalam pada itu, Syafiq turut menyentuh isu penularan paparan skrin dari seorang pengguna akaun yang kononnya merupakan perbualan Syafiq dengan lelaki berkenaan.
Menafikan perkara itu, Syafiq berkata gambar tersebut telah disunting pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan hanya bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan.
“Ini merupakan satu perkara yang tidak betul dan tidak berasas sama sekali yang hanya bertujuan menangguk di air yang keruh.
“Screenshot tersebut telah disunting oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan profil individu tersebut juga menggunakan gambar yang dicuri dari pemilik asal seorang warga Filipina,” ujarnya.
Juga: Identiti Sebenar Jejaka Sebar Screenshot ‘Syafiq’
Syafiq mengakhiri kenyataannya itu dengan menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya dalam menempuhi ujian tersebut.
Ujarnya, episod berkenaan merupakan satu pengajaran yang terbaik buat dirinya dan akan mematangkan dirinya di masa hadapan.
Diharap dengan penjelasan Syafiq ini, segala persoalan yang bermain di fikiran netizen telah terjawab. Ada benarnya juga kata Syafiq, lebih baik hentikan sahaja penyebaran video berkenaan, lagi-lagi di bulan Ramadan ini. – MYNEWSHUB.CC/EZ