SEORANG rakyat Palestin di Gaza terbunuh manakala kira-kira 20 orang lain cedera berikutan protes beberapa tempat berhampiran pagar di sempadan Timur Israel, hari ini.
Tentera Israel telah melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin bagi mengelakkan kemaraan mereka ke arah persempadanan Israel.

Menurut Aljazeera, Anas Hamdan Qdeih, 21, ditembak mati oleh tentera Israel di timur Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza dan 20 orang lain cedera dalam pergelutan itu.
Protes berterusan dalam Great March of Return ini terus diadakan sempena memperingati Hari Nakbah (malapetaka) penubuhan Israel pada 15 Mei 1948 yang menyebabkan pengusiran ratus ribu rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Selain itu, faktor pemindahan kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan pengakuan AS ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel juga menjadi asbab gerakan protes rakyat Palestin dalam Great March of Return.
Sejak awal pagi, puluhan ribu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza cuba menyeberangi pagar yang memisahkan wilayah itu dari Israel.

Protes bermula di bandar Tebing Barat Ramallah dan Hebron sebagai tindak balas kepada langkah kedutaan AS.
Di Ramallah, penduduk Palestin bergerak dari arah utara pusat bandar itu ke tengah kawasan Qalandia yang hanya bersebelahan dengan Baitulmaqdis.
“Jumlah orang yang hadir untuk mengambil bahagian adalah tidak pernah berlaku sebelum ini berbanding tujuh minggu yang lalu,” kata Maram Humaid, wartawan Palestin.

Jurucakap Great March of Return, Ahmad Abu Artema memberitahu perjuangan mereka ini bagi membuktikan bumi Palestin adalah tanah asal milik mereka.
“Hari ini rakyat Palestin mahu melintasi pagar adalah untuk menghantar mesej bahawa kami tidak boleh menyesuaikan diri sebagai pelarian dan hidup dalam keadaan sukar walaupun sudah 70 tahun.
“Kami bersungguh-sungguh untuk kembali, tidak kira apa yang berlaku, inilah yang dikehendaki rakyat Gaza,” katanya.

Pegawai Israel menuduh Hamas berada di sebalik protes tersebut dengan tujuan untuk mengeksploitasi rakyat Palestin yang sengaja mengundang bahaya mendekati pagar sempadan.
Bagaimanapun, pihak penganjur menolak dakwaan itu.
Kini, ribuan polis Israel sedang mengambil langkah berjaga-jaga sempena majlis pengistiharaan rasmi di Pejabat Konsul Amerika di Baitulmaqdis yang dijangka akan berlangsung pada jam 4 petang ini waktu Israel. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

