KOTA TINGGI — Sebanyak 237 karton rokok putih seludup pelbagai jenis bernilai RM 33,464 berjaya dirampas pasukan polis dalam serbuan di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Ahsmon Bajah berkata serbuan kira-kira 3 petang itu dilakukan berdasarkan maklumat orang awam dan menyasarkan sebuah kereta di lorong belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Anggerik 2/1, Taman Anggerik Bandar Tenggara.
Katanya, daripada serbuan itu, polis menemukan 237 karton rokok pelbagai jenama di bahagian tempat simpanan barang dalam kenderaan berkenaan.
Berikutan itu, seorang lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai pemilik kenderaan telah ditahan dan direman sehingga 29 Mei ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, katanya dalam satu kenyataan. — BERNAMA

